Monday

FADHILAT RAMADHAN 3

Daripada Ka'ab Bin 'Ujrah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : ' Hadirlah ke mimbar! Maka kami pun telah hadir. Apabila baginda naik satu anak tangga mimbar, baginda berkata ' Amin' dan apabila naik anak tangga yang kedua, baginda berkata ' Amin ' dan apabila naik anak tangga yang ketiga baginda berkata ' Amin '. Apabila baginda turun, kami telah bertanya ' Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari tuan sesuatu yang belum pernah kami
dengar. Baginda bersabda : ' Sesungguhnya Jibrail telah muncul kepadaku dan berkata ' Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan'. Maka aku berkata " Amin'. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata ' Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan di depannya, tidak pula dia menselawatimu. ' Aku juga berkata ' Amin' dan apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata ' Binasalah dia yang mendapati kedua ibu-bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi ,mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga'. Aku berkata ' Amin '.


Huraian Ringkas

Dalam hadis ini Jibrail a.s. telah memohon tiga doa ( kebinasaan ) dan Rasulullah s.a.w pula telah mengaminkan ketiga-tiganya. Pertama apa kurangnya dalam doa Jibrail a.s, satu malaikat yang begitu hampir dengan Allah s.w.t. dan kemudian jelas kepada kita amin Rasulullah s.a.w. pula telah menjadikan doa itu kuat. Hanya Allah s.w.t. dengan limpah-Nya sahaja boleh memberi taufiq kepada kita untuk menjauhi ketiga-tiga perkara itu supaya kita terpelihara dari semua kebinasaan itu. Jika tidak, tiada sebarang kesangsian lagi terhadap kebinasaan kita sendiri.

Di dalam sesetengah riwayat dari kitab Durre- Manthur dinyatakan bahawa Jibrail a.s. sendiri yang berkata kepada Nabi s.a.w. ' Katakanlah Amin!'. Lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata 'Amin'. Dengan itu dapat diketahui bahawa perkara itu lebih diambil berat. Orang pertama ialah dia yang Ramadhan datang kepadanya tetapi dia masih tidak diampunkan. Yakni bulan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan seperti Ramadhan itu pun masih dihabiskan dengan kelalaian. Di dalam Ramadhan keampunan dan rahmat Allah s.w.t. turun seumpama hujan. Oleh kerana itu sesiapa yang Ramadhan pun berlalu padanya dalam keadaan keburukan dan kecuaian begitu sekali sehingga menyebabkannya terluput dari keampunan, maka masa mana lagi yang boleh menjamin keampunan untuknya dan apa lagi yang hendak ditunggu untuk kebinasaannya. Sementara jalan untuk mendapat keampunan ialah dengan menunaikan amalan-amalan Ramadhan seperti puasa dan tarawih dengan sepenuh-penuh perhatian dan kemudian pada setiap masa memperbanyakkan taubat dan istighfar ke atas dosa-dosa sendiri.

Semoga Allah s.w.t. menerima amalan-amalan baik kita dan memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. ... Amin.

FADHILAT RAMADHAN 2

Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

' Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka.
1. Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Ikan-ikan di laut akan beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah s.a.w. akan menghiaskan syurga-Nya dan berkata " Telah hampir masanya hamba-hamba-Ku yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."
4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa diperbuat oleh mereka pada bulan yang lain.
5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanyakan kepada Rasulullah ' Adakah ia Lailatul-Qadr?'. Baginda menjawab ' Tidak! Namun seorang pekerja akan diberikan ganjarannya apabila dia telah menyelesaikan kerjanya.'


Huraian Ringkas.

Salah satu eistimewaan bulan ini ialah penangkapan syaitan-syaitan yang sangat jahat yang kerananya kekuatan dorongan maksiat akan berkurangan. Disebabkan mencurah-curahnya rahmat dan banyaknya ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, sepatutnya syaitan akan berusaha sedaya upaya dan sekeras mungkin untuk menyesatkan sehingga maksiat juga akan bertambah pada bulan ini tanpa had lagi. Namun demikian di sebalik itu semua apa yang dapat kita saksikan dan dapat dipastikan secara keseluruhannya ialah perlakuan dosa akan sangat berkurangan. Berapa ramai kaki arak yang tidak lagi minum arak semata-mata bulan Ramadhan dan demikian juga dosa-dosa lain. Perlakuannya secara terbuka akan berkurangan. Walaupun demikian, perlakuan-perlakuan dosa masih wujud. Maka tidak peliklah kalau dosa-dosa itu dilakukan kesan dari syaitan-syaitan biasa.

Kesan itu juga adalah hasil daripada sifat yang ada pada nafsu ' amarah bi suk ' yang jahat. Ianya masih tidak dapat dikawal oleh seseorang insan yang terlalu sebati hidupnya bersama nafsu itu. Sabda Rasululullah s.a.w.; ( Terjemahan )

' Apabila seseorang itu melakukan satu-satu dosa maka setitik hitam akan melekat dihatinya. Jika dia benar-benar bertaubat maka titik itu akan hilang. Jika tidak, ia akan terus kekal. Apabila dia melakukan dosa untuk kali yang kedua maka titik kedua akan melekat dan seterusnya sehingga seluruh hatinya akan menjadi hitam. Kemudian perbuatan yang baik tidak lagi akan masuk ke dalam hatinya.'

Allah s.w.t. telah berfirman : ( Terjemahan )
" Sebenarnya! ( ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran ." ( Al-Mutaffifin : 14 )

Maka bulan Ramadhan ini sepatutnyalah kita semua mempertingkatkan keimanan kita dan banyak-banyak bertaubat semoga Allah s.w.t. akan menerima amal ibadat kita dan dimasukkan kita ke dalam syurga yang mana seperti hadis ini, iaitu syurga-syurga yang dihiaskan oleh-Nya. Ini adalah kerana Allah s.w.t. menerima kita sebagai hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

Thursday

FADHILAT RAMADHAN 1

Sedar tak sedar hari ni dah 5 ramadhan..

Hadis Fadhilat Ramadhan – 1
Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami pada hari terakhir dari bulan Sya'aban: ( Terjemahan )

'Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam ( Lailatul- Qadr ) yang lebih baik daripada seribu bulan. Satu bulan yang Allah s.w.t. telah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai satu amalan fardhu dan berdiri pada malamnya ( bertarawih ) sebagai satu amalan sunat. Sesiapa yang cuba menghampiri Allah padanya dengan mana-mana amalan sunat maka seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya adalah seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.Ia adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga.

Ia adalah bulan simpati. Ianya bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka ia merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dan neraka dan dia mendapat ganjara puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun dari ganjarannya. Sahabat-sahabat r.a. lalu berkata : ' Tidaklah setiap dari kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka'. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : ' Allah s.w.t. memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka'.Ia adalah satu bulan yang bahagian awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kelepasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan beban hamba-hambanya ( pekerja-pekerjanya ) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah dan akan dilepaskan dari azab api neraka.

Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Kamu meredhakan Tuhan kamu dengan dua perkara dan dua perkara lagi yang tidak boleh tidak kamu memerlukannya. Ada pun dua perkara yang kamnu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah s.w.t. dan kamu memohon istighfar daripada-Nya. Sementara dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukannya ialah memohon syurga dari Allah dan meminta perlindungan dari api neraka.Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah s.w.t. akan memberinya minum dari telagaku ( pada hari kiamat ), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dlam syurga '.


Huraian ringkas :

Terdapat banyak perkara yang jika dihuraikan di sini, maka ia akan menjadi amat panjang sekali. Tetapi apa yang ingin dihuraikan satu perkara yang penting iaitu tentang ' sikap pengorbanan ' yang mesti ada dalam diri kita untuk membantu orang-orang Islam yang lain yang memerlukan pertolongan kita. Pertolongan dan pengorbanan ini mestilah kita berikan kepada masyarakat kita terutamanya yang menghadapi kesengsaraan hidup, sama ada si miskin, si fakir, anak yatim, balu-balu dan semua golongan yang tertindas.

Mari kita mengambil ikhtibar dari kisah sahabat sebagai renungan dan panduan kita. Abu Jahm r.a. berkata: ' Semasa peperangan Yarmuk, saya telah keluar untuk mencari saudara sepupu saya. Saya telah membawa bersama sebekas air kerana memikirkan kalau dia masih hidup, saya akan memberikannya air dan akan membasuh tangan dan mulutnya. Secara kebetulan saya telah menemuinya dalam keadaan terlantar. Saya telah bertanya jika beliau memerlukan air dan beliau telah memintanya dengan isyarat. Dalam pada itu seorang yang tercedera di sebelahnya telah mengerang kesakitan. Sepupu saya telah mengisyaratkan supaya saya pergi kepadanya sebelum beliau sendiri sempat minum. Saya telah pergi ke sisinya dan bertanya kepada beliau. Dalam pada waktu itu pula seorang yang berada di sebelahnya telah memberi isyarat. Sahabat yang kedua itu pun telah mengisyaratkan supaya saya pergi kepada sahabat yang ketiga sebelum beliau sendiri sempat minum air. Semasa saya tiba di sisinya, rohnya telah melayang. Saya kembali kepda sahabat yang kedua, beliau juga telah meninggal, lalu saya kembali
kepada saudara sepupu saya dan mendapati beliau juga telah meninggal dunia'.

Semoga pengajaran dari kisah dan hadis ini dapat menjadikan kita umat yang sanggup berkorban demi Islam dan muslim itu sendiri.

http://tazkirahagama.blogspot.com/

CARA MENGGUNAKAN MALAM


(dipetik dari Ihya` Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali)


Menghidupkan waktu malam yakni mengerjakan ibadat sewaktu malam dengan bersolat dan lain-lain ada tujuh peringkat iaitu :

Pertama : Menghidupkan seluruh malam yakni semalaman suntuk. Ini adalah orang yang benar-benar kuat dan pekerjaannya semata-mata untuk beribadat kepada Allah SWT sahaja. Mereka itu merasakan nikmat yang luar biasa di waktu bermunajat kepada Allah SWT. Kelakuan sedemikian itu dianggapnya sebagai makanan untuk menghidupkan hatinya. Oleh sebab itu mereka tidak berasa penat sama sekali sepanjang malam.

Sebagai gantinya, maka di waktu siang mereka akan tidur seberapa perlu. Cara yang sedemikian ini tersohor sekali dari amalan 40 kaum tobi`in.

Kedua : Bangun untuk melakukan ibadat selama separuh malam.

Ketiga : Melakukan ibadat selama satu pertiga malam dari separuh malam yang terakhir.

Keempat : Melakukan ibadat selama satu perenam malam yang terakhir atau satu perlima darinya.

Kelima : Tdak mengikut cara-cara yang di atas tetapi ia tidur lalu menetapkan ia akan bangun malam pad satu masa yang tidak akan ditentukan.

Keenam : Ia bangun hanya sekadar cukup untuk melakukan empat atau dua rakaat sahaja.

Ketujuh : Sekiranya uzur untuk bangun ditengah malam, maka ia tidak melalaikan untuk bangun sebelum solat Subuh atau sewaktu menjelangnya waktu sahur dan ia tidak tidur pada waktu Subuh.

Adapun cara Rasulullah SAW jika dilihat pada kadarnya, baginda tidak menetapkan satu cara yang khusus dalam melaksanakannya, tetapi kadangkala baginda mengerjakan ibadat separuh malam, kadangkala satu pertiga malam, kadangkala dua pertiga malam dan kadangkala satu perenam malam. Perkara itu berbeza-beza antara satu malam dengan malam yang lainnya. Peristiwa ini juga diperkuatkan oleh firman Allah SWT dalam dua keadaan iaitu :

Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui (wahai Muhammad) bahawasanya engkau bangun (solat Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya

(Al-Muzammil : 20)

Perkataan kurang dari dua pertiga malam itu seolah-olah menunjukkan separuh atau separuh dari satu perenam. Juga perkataan nisf dan thuluts (rujuk surah Al-Muzammil : 20) apabila diletakkan baris bawah (kasrah) akan membawa erti separuh dua pertiga dan satu pertiga dari dua pertiga yakni hampir mendekati satu pertiga dan satu perempat.

Tetapi, jika diletakkan baris atas (nasab), ia akan membawa erti separuh malam dan satu pertiga malam. Aisyah ra berkata “Rasulullah SAW bangun apabila telah mendengar suara berkokok yakni ayam jantan”. Keterangan ini menunjukkan bahawa baginda saw mengerjakan ibadat malam selama satu perenam malam atau kurang sedikit dari itu.

http://blog.upsi.edu.my/heai/2009/06/24/cara-menggunakan-malam-dipetik-dari-ihya-ulumuddin-karangan-imam-al-ghazali/

SENANGKANLAH HATIMU..


(Oleh Al-Anisah Mai) dipetik dalam Prof. Dr. Hamka (1996). Tasawuf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Halaman 337-343.

Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu!
Kerana dihadapanmu terbentang kesempatan
untuk menunaikan yang sulit-sulit.
Segala perbuatanmu dihargai orang,
engkau beroleh pujian di mana-mana.
Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh.
Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian,
sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.

Jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa,
penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya.
Senangkanlah hatimu kerana tiada orang yang akan hasad dan dengki kepada engkau lagi,
lantaran kemiskinanmu.
Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat,
yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati,
dan tidak ada pintu bagi kebencian.

Kalau engkau dermawan, senangkanlah hatimu!
Kerana dengan kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong,
telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang,
engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh.
Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu dan engkau beroleh bahagia: Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu. Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu,
sekarang akan berlipat ganda, sebab banyak orang yang telah mengecap nikmatnya.

Kalau engkau tidak kuasa jadi dermawan, itupun senangkanpulalah hatimu!
Sebab engkau tidak akan bertemu
dengan suatu penyakit yang selalu menular kepada masyarakat manusia,
iaitu tiada membalas guna, penghilangkan jasa.
Mereka ambil kebaikan budi dan kedermawananmu itu jadi senjata untuk menjatuhkan tuduhan-tuduhan yang rendah.
Saat yang demikian pasti datang kepada tiap-tiap dermawan,
yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah, sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia, disangka manusia tidak pembalas guna.
Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncakkebahagiaan dan beroleh ampunan dari Tuhan.

Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu!
Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh.
Sebab umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.

Kalau engkau telah tua,senangkan pulalah hatimu!
Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit,
dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup.
Engkau telah tahu firasat,
mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya.
Oleh sebab itu segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu
kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya.
Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda,
sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.

Kalau engkau dari turunan yang mulia-mulia, tenangkanlah hatimu!
Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabat itu.
Kalau engkau memang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan dan kalau kalah tidak begitu terasa.
Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau,
engkau dapatlah insaf, tandanya dirimu mahal dan timbanganmu berat.
Yang penting adalah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri seorang, memandang hanya engkau yang benar,
lalu masuk ke dalam daerah yang baru, iaitu mengakui
bahawa ada lagi orang lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang.

Jika musuhmu banyak, senangkan pulalah hatimu!
Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi. Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan.
Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau, atau hasad dengkinya, atau mulutnya yang kotor atau perangainya yang keji,
bertambahlah teguhnya pendirianmu bahawa engkau bukan barang murah,
tetapi barang mahal, dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu,
engkau dapat beroleh pelajaran.
Mula-mula maksudnya hendak meracunimu dengan serangan-serangannya
yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri,
engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana yang berfaedah, engkau buangkan mana yang salah.

Ingatlah: Pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi memperdulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?

Kalau badanmu sihat, senangkanlah hatimu!
Tandanya telah ternyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmatNya,
lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.

Kalau engkau sakit, senangkan pulalah hatimu!
Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan
di antara dua alam yang dijadikan Tuhan iaitu kesihatan dan kesakitan.
Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat,
kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik kesembuhan dunia ataupun kesembuhan yang sejati.

Kalau engakau menjadi orang luar biasa, senangkan hatimu!
Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang terang-benderang
tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingga menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu,
dilihatNya otakmu sehingga cerdas,
dilihatNya matamu sehingga jadi azimat,
dilihatNya suaramu sehingga jadi sihir.
Bagi orang lain, perkataan dan tiap-tiap suku kalimat yang keluar dari mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup saja.
Tapi bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat,
boleh meninggikan, boleh memuliakan dan menghinakan,
sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata kepada alam: “Adalah”, sehingga diapun “ada”.

Kalau engakau dilupakan orang, kurang dikenal, senangkan pulalah hatimu!
Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu
mulut tidak banyak mencacatkanmu, tidak ada orang lain yang dengki kepadamu,
tak ada orang yang meniatkan jatuhmu, mata tak banyak memandangmu.
Itu, dihadapanmu ada puncak bukit dan engkaupun salah seorang dari anggota masyarakatmu.
Rumah batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir-pasir yang kecil. Dengan demikian itu, engkau akan merasai kesenangan hati
yang kerapkali tidak didapat oleh yang bibirnya tak pernah merasai air hidup dan rohnya tak pernah mandi di dalam kolam ilham.

Kalau sahabatmu setia kepadamu, tenangkanlah hatimu!
Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal.
Kalau kawanmu khianat, senangkan juga hatimu!
Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.

Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperhambakan, senangkanlah hatimu!
Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan bagi bangsa yang
terjajah atau diri yang diperhamba kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu. Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati,
dan itulah yang meninggalkan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah didapat suatu bangsa yang terus menerus dijajah.

Jika engkau dari bangsa merdeka, senangkanlah hatimu!
Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain, ada bagimu kesempatan mencari kekuatan baru.
Kemerdekaan itu mesti diisi dengan bahan-bahan yang baik, dan bagimu terbuka kesempatan yang seluas-luasnya untuk itu.

Kalau engkau hidup dalam kalangan orang-orang yang kenal akan diri dan cita-cita engkau, senangkan hatimu!
Kerana di sana engkau dapat mengusahakan tenaga muda
setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak, menaungi lautan dan daratan.

Kalau engkau hidup dalam kalangan masyarakat yang masih rendah, yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang, sehingga engkau merasa ’sial-dangkal’,
maka senangkanlah hatimu! Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbangmu daripada orang-orang yang patah sayap itu.
Engkau boleh melayang ke suatu langit khayal, untuk mengubati fikiranmu yang gelisah, untuk melepaskan dahaga jiwamu.

Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu!
Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih.
Tuhan telah memperlihatkan belaskhasihan-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong
di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya,
tandanya Tuhan telah membisikkan ketelingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam.
Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersunggguh-sungguh.

Jika engkau mencinta tetapi cintamu tidak terbalas, senangkanlah hatimu!
Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali
kepada orang yang diusirnya itu setelah ia jauh dari matanya, dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa.
Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga lantaran itu hati akan bersih
laksana bejana kaca yang penuh berisi air khulud, air kekal yang dianugerahkan Tuhan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak
tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, akan ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima menyuburkan cinta,
walau bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu,
sayang engkau tak tahu bila lalunya. Hendaklah engkau menjadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan
beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng
yang gagah perkasa yang sukar tertempat oleh manusia biasa.

Kerana tugu cita-cita hidup ini berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri.

Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang
kesulitan perjalanan hidup kian minit, kian baru.

Merasa senanglah selalu!

Merasa tenteramlah!

http://blog.upsi.edu.my/heai/2009/05/29/senangkanlah-hatimu/

Sunday

MARWA AL-SHARBINI: SYAHID KERANA TUDUNGNYA....



Tidak banyak liputan TV tentang Marwa Al-Sharbini, seorang ibu yang punya seorang anak, sedang mengandung tiga bulan, mati akibat ditikam 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti-Islam dan anti-Muslim.

Tidak ramai pula di kalangan orang Islam sendiri sedar tentang tragedi kejam ini. Yang mereka lebih tahu ialah kematian Raja Pop. Itupun kerana media, terutama TV melampau-lampau liputannya. Berhari-hari, bahkan berminggu masih belum reda isunya.


Ribuan penduduk Mesir menghantar jenazah Marwa ke tempat pengkebumiannya. Beliau tidak sepopular artis tersohor, MJ, tetapi pastinya beliau tersohor di kalangan penduduk langit kerana mempertahankan harga diri, maruah dan agamanya melalui tudungnya, yang dengannya ia syahid.

Marwa ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman sebelum memberikan keterangan atas kesnya. Ia mengadu tentang seorang pemuda Jerman bernama Alex W yang kerap menyebutnya “teroris” hanya disebabkan beliau berjilbab. Dalam suatu kesempatan, pemuda itu bahkan pernah menyerang Marwa dan berusaha melepas jilbab Muslimah berasal dari Mesir itu. Di saat berada di mahkamah itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini ia menikam Marwa berkali-kali. Suami Marwa yang berusaha melindungi isterinya, terkena tembakan pihak berkuasa yang berdalih tidak sengaja menembak suami Marwa yang kini dalam keadaan kritikal di hospital di Dresden .


Dalam sejarah Islam, seorang wanita Islam cuba dicabul kehormatan dan maruah dirinya oleh seorang Yahudi. Lantas pemuda Islam tangkas membantu hingga menyebabkan pergaduhan antara Yahudi dan orang Islam. Di zaman Khalifah Mu’tasim, seorang wanita meminta tolong dengan berkata: ‘Waa Mu’tasimah!’. Mu’tasim yang berada begitu jauh darinya, apabila mendapat berita tersebut terus menghantar bantuan untuknya.

Hari Jilbab Antarabangsa

Umat Islam kini, apa yang dibuatnya? Media dunia umat Islam sendiri hanya pentingkan berita pengkebumian Michael Jackson sendiri. Tiada liputan besar-besaran untuk Marwa, melainkan media Islam khususnya di internet.

Untuk mengingati peristiwa ini, Hari Jilbab Antarabangsa dicadangkan bagi mengenang Marwa as-Sharbini. Usul itu dilontarkan oleh Ketua Perhimpunan Mempertahankan Hijab, Abeer Pharaon melalui Islamonline. Abeer mengatakan, Marwa Al-Sharbini adalah seorang syahid bagi perjuangan muslimah yang mempertahankan jilbabnya. “Ia menjadi korban Islamofobia, yang masih dialami ramai orang Islam di Eropah. Kematian Marwa layak untuk diperingati dan dijadikan sebagai Hari Hijab Sedunia,” kata Abeer.

Seruan Abeer disambut oleh beberapa orang tokoh Muslim, di antaranya Rawa Al-Abed dari Persekutuan Persatuan Islam di Eropah. “Kami mendukung cadangan ini. Kami juga menyeru agar diwar-warkan kempen seperti ini untuk meningkatkan kesedaran tentang hak-hak muslimah di Eropah, termasuk hak mengenakan jilbab,” kata Al-Abed.

Profesor bidang teologi dan falsafah dari Universiti Al-Azhar, Amina Nusser juga memberikan dokongannya atas cadangan Hari Jilbab Antarabangsa yang boleh dijadikan momentum untuk memberi tindakbalas sikap anti-jilbab di Barat. “Hari peringatan itu akan menjadi kesempatan bagi kita untuk mengingatkan Barat agar bersikap adil terhadap para muslimah dan kesempatan untuk menunjukkan pada Barat bahawa Islam menghormati hak beragama,” tegas Nusser.

Nusser menegaskan bahawa hak seorang muslimah untuk berpakaian sesuai dengan ajaran agamanya, tidak berbeza dengan hak penganut agama lain. Ia mengingatkan, kaum perempuan penganut Kristian Ortodoks juga mengenakan tudung sebelum masuk ke gereja.

Sokongan untuk mengadakan Hari Jilbab Antarabangsa itu juga datang dari Persatuan Muslim Denmark. Ketuanya, Mohammed Al-Bazzawi. “Hari Jilbab untuk mengingatkan masyarakat Barat bahawa hak muslimah untuk mengenakan jilbab sama dengan hak perempuan non-Muslim yang boleh mengenakan busana apa saja. Mereka di Barat yang berbicara soal hak perempuan, selayaknya menyedari bahawa mereka juga tidak boleh mengabaikan hak seorang perempuan untuk mengenakan jilbab,” ujarnya.

Gerakan Islam di rantau Asia juga wajar mengambil inisiatif menganjurkan Hari Jilbab Antarabangsa tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam. Dewan Muslimat PAS dan NGO berkaitan boleh mengambil peranan ini.

Akhbar Jerman perleceh Marwa as Sharbini

Surat khabar Jerman, Die Welt versi online memuatkan komentar-komentar pembacanya yang berisi penghinaan dan pernyataan anti-Arab dan anti-Muslim.

Komentar-komentar itu adalah reaksi pembaca atas artikel berjudul “Islamisten fordern Vergeltung für Mord im Gericht” yang diterbitkan berkaitan kes Marwa Al-Sharbini itu.

Salah satu pemberi komen misalnya, menyarankan agar pelaku pembunuhan Marwa diberi tanda jasa “Federal Cross of Merit”. Pemberi komen lainnya menyebut Marwa “toilet” dan masih banyak lagi komentar-komentar lainnya yang isinya jelas membela pembunuh Marwa dan melecehkan Marwa.

Pihak Die Welt pula anehnya, enggan menolak untuk menghapuskan komentar-komentar yang provokatif itu, seiring dengan sikap media massa Jerman lain untuk tidak menulis berita tentang insiden yang menimpa Marwa. Media Jerman menganggap kes pembunuhan Marwa yang berlatar belakang islamofobia itu bukan kes yang serius. Sikap media Jerman mungkin akan berbeza jika yang dibunuh adalah seorang non-Muslim Jerman dan pelakunya seorang Muslim.

Sementara itu, atas sikap akhbar Die Welt online, website Ikhwanul Muslimin menyeru kaum Muslimin untuk menyampaikan email protes kepada akhbar tersebut agar menghapuskan komentar-komentar yang rasis dan anti-Muslim, melalui alamat email:online@welt.de

http://meenkadir.wordpress.com/2009/07/25/marwa-alsharbini/

Saturday

MESEJ SEORANG TEMAN



"Perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga oleh ALLAH, tak sedikitpun ALLAH membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya....kerana ALLAH teramat mencintainya... tp andai kita bergelumang dengan cinta manusia, di mana ALLAH untuk menjaga kita? ALLAH seperti melepaskan kita kepada seorang manusia yang lebih bnyak mengecewakan kita..."

"Jika ALLAH datangkan kesedaran dalam diri supaya meninggalkan cinta seorang lelaki, bermakna ALLAh mahu mengambil kita kembali untuk dijaganya. Mengapa masih ragu?"

"Kekuatan usah ditunggu tetapi harus dicari! Selamat menjaga IMAN!!!"

Mesej ini dikirim oleh seorang teman. Lantas diri ini tersentak seketika.....