Thursday

FADHILAT RAMADHAN 8

Hadis Fadhilat Ramadhan - 8
Hari ini kita akan menamatkan siri petikan hadis-hadis mengenai Lailatul-Qadr. Insya-Allah kita akan belajar hadis-hadis mengenai bab iktikaf pada siri-siri akan datang.

Daripada Anas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

' Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah Jibrail a.s. bersama satu kumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingat Allah s.w.t. dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah maka Allah s.w.t. akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikat-Nya. Dia berfirman:

" Wahai malaikat-Ku! Apakah balasan seorang pekerja yang menyempurnakan kerjanya?" Mereka berkata : " Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempunakan ganjarannya." Allah berkata lagi : " Wahai malaikat-Ku, hamba-hamba-Ku lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhu -Ku ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa - Demi kemulian dan kehebatan-Ku, kemurahan dan ketinggian-Ku dan demi kedudukan-Ku pasti Aku menerima doa-doa mereka. Kemudian Allah s.w.t. berkata ( kepada hamba-hamba itu ) : " Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu dengan kebaikan." Nabi s.a.w. berkata: 'Lalu mereka pun pulang dalam keadaan terampun'.

Huraian Ringkas.

Kedatangan Jibrail a.s. bersama para malaikat dinyatakan juga di dalam Al-Quran sebagaimana yang diterangkan sebelum ini. Banyak hadis-hadis juga menyebutnya. Ada hadis yang menyebutkan bahawa Jibrail a.s. akan menyuruh malaikat-malaikat supaya pergi ke rumah orang-orang yang sedang berzikir lalu berjabat tangan dengan mereka. Di dalam kitab Ghaliatul-Mawaiz terdapat nukilan dari kitab Ghuniyyah karangan Syaikh Abdul Qadir Jailani rah. di dalam hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. dinyatakan bahawa dengan arahan Jibrail a.s. itu, para malaikat akan bertebaran dan tidak ada satu rumah pun samada kecil atau besar, di darat atau di laut yang ada di dalamnya orang-orang beriman kecuali mereka memasukinya untuk bersalaman tetapi mereka tidak akan masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing, khinzir, orang berhadas besar kerana zina ataupun gambar.

Berapa banyak rumah orang Islam yang ada tergantung gambar sebagai perhiasan lalu mereka merugikan diri mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri dari ni'mat rahmat yang begitu besar. Orang yang menggantungkan gambar hanyalah seorang tetapi dia menjadi sebab penghalang dari masuknya malaikat rahmat ke rumah itu lalu dia telah merugikan seluruh isi rumah itu bersamanya.

Sunday

FADHILAT RAMADHAN 7

Hadis Fadhilat Ramadhan – 7 (Lailatul Qadar)

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda.

Dari Ubadah bin Samit r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Lailatul-Qadr. Lalu baginda bersabda:

“ Ianya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh malam yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23,25,27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sdang memancar ( kerana banyak Nur kerohanian ). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Ianya terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah s.w.t. telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu.' (sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit) ”.

Huraian Ringkas.

Beberapa alamat Lailatul-Qadr sudah jelas diterangkan oleh hadis ini. Ada juga alamat atau tanda yang telah diriwayatkan oleh mereka yang pernah mengalami malam tersebut khasnya ialah apabila matahari terbit pada paginya, ia akan terbit tanpa sinaran yang memancar kuat. Tanda ini banyak di dapati di dalam hadis-hadis dan ia selalu didapati.

Abdah bin Abi Lubabah r.a. berkata, ' Saya telah merasai air laut pada malam 27 Ramadhan dan sesungguhnya saya telah mendapatinya betul-betul tawar'. Hazrat Ayyub b Khalid rah. pula berkata, " Saya terpaksa mandi pada suatu malam. Saya telah mandi dengan air laut lalu mendapatinya tawar. Kisah ini berlaku pada malam yang ke 27 '. Para masyaikh menulis bahawa di dalam Lailatul-Qadr semua benda akan bersujud. Sehingga pokok pun akan rebah ke bumi dan kemudian akan bangun ke tempatnya kembali. Walau bagaimanapun perkara-perkara sebegini adalah berkaitan dengan kasyaf, ia tidak dapat disedari oleh semua orang.

Semoga hadis ini dan kisah-kisah tersebut dapat menjadi pengajaran kepada kita, Insya-Allah.

FADHILAT RAMADHAN 6

Hadis Fadhilat Ramadhan – 6
Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.

Alhamdulillah hari ini masuk hari yang ke 16 kita berpuasa dan malam ini adalah malam yang penuh barakah iaitu malam 17 Ramadhan. Pada malam inilah lebih dari 1437 tahun yang lalu bermulanya sejarah Islam. Malam inilah yang dinamakan sebagai Nuzul Quran atau turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Ar-Rasul s.a.w. Maka siri perjuangan kita juga asalnya dari tarikh inilah, ianya akan terus disambung oleh jenerasi pejuang Islam sehingga hari kiamat, Insya-Allah. Maka rantaian perjuangan kita tidak mungkin akan terputus sehingga Allah s.w.t. mengkiamatkan alam ciptaan-Nya.

Kita akan terus belajar dari hadis seterusnya sebagai tambahan khazanah ilmu Islam kita, Insya-Allah.

Dari Anas r.a berkata, telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi ”.

Huraian Ringkas.

Di sini marilah kita mengambil iktibar dari beberapa kisah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan Wali-wali Allah s.w.t. yang beribadat ketika berada di Bulan Ramadhan.

1. Umar Al-Khattab r.a. akan sentiasa bersolat setiap malam sehingga waktu Subuh menjelma.

2. Uthman r.a. setelah berpuasa sepanjang hari, akan menghabiskan malam dengan bersolat. Beliau hanya tidur sekejap di bahagian permulaan malam. Beliau akan mengkhatamkan Al-Quran di dalam satu rokaat solatnya.

3. Qatadah rah. mengkhatamkan seluruh Al-Quran di dalam setiap tiga malam Ramadhan. Sementara di dalam sepuluh malam terakhir beliau akan mengkhatamkannya setiap malam.

4. Seorang Wali Allah yang terkenal iaitu Ibrahim Adham pula sepanjang Ramadhan tidak akan tidur sama ada siang ataupun malam.

5. Imam Syafie rah. pula di sepanjang Ramadhan menghabiskan enam puluh kali Al-Quran di dalam solatnya sama ada di waktu siang ataupun malam.

Semoga sedikit sebanyak dari kisah-kisah di atas dapat kita mengambil pelajaran darinya. Walaupun diakui sukar untuk kita lakukan lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, tetapi kita mestilah bertekad untuk mendapatkan fadhilat Lailatul-Qadr tahun ini. Siapa tahu kita tidak akan berjumpa lagi Ramadhan pada tahun hadapan.

Saturday

FADHILAT RAMADHAN 5

Hadis Fadhilat Ramadhan - 5
Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Dari Abu Hurairah r.a., berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang berdiri beribadat di malam Lailatul-Qadr dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu”.

Huraian Ringkas

Maksud berdiri beribadat ialah mendirikan solat. Termasuk di dalam hukum itu juga ialah sibuk dengan lain-lain ibadat seperti tilawah Al-Quran, zikir dan lain-lain. Maksud ' mengharapkan ganjaran ' ialah tidak berdiri kerana menunjuk-nunjuk dan lain-lain niat yang buruk bahkan dengan penuh ikhlas berdiri semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan juga dengan niat untuk mendapatkan ganjaran. Khattabi rah. berkata bahawa maksudnya ialah dengan meyakinkan ganjaran yang akan didapati seseorang berdiri dengan hati yang gembira bukannya dengan merasakan ianya sebagai beban lantas berdiri dengan perasaan yang malas. Sememangnya satu perkara yang jelas terbentang bahawa setakat mana kuatnya keyakinan dan kepercayaan terhadap ganjaran pahala, sebanyak itulah mudah untuk menanggung segala kesusahan di dalam beribadat. Inilah sebabnya sejauh mana seseorang itu maju dalam menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. sebanyak itulah dia lebih bersungguh-sungguh di dalam ibadat.

Perlu juga dimaklumi bahawa yang dimaksudkan dengan dosa di dalam hadis di atas dan hadis-hadis seumpamanya ialah dosa-dosa kecil kerana di dalam Al-Quran,bila sahaja dosa besar disebutkan maka bersamanya disebutkan juga - kecuali mereka yang bertaubat. Berdasarkan perkara inilah, para ulama telah sepakat ( ijma' ) bahawa dosa besar tidak akan diampunkan tanpa bertaubat. Jadi bila sahaja dosa disebutkan di dalam hadis maka para ulama mengkhususkannya dengan dosa kecil sahaja.

Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan baik kita, Inya-Allah.

http://tazkirahagama.blogspot.com/

FADHILAT RAMADHAN 4

Hadis Fadhilat Ramadhan - 4

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ' Betapa ramai daripada orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang beribadat malam yang tidak mendapat apa-apa dari ibadatnya kecuali berjaga malam'.

Huraian Ringkas

Ada beberapa pendapat ulama di dalam mensyarahkan hadis ini.

Pertama, yang dimaksudkan di dalam hadis di atas adalah orang yang berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dengan sumber yang haram. Sebanyak mana dia telah mendapat pahala dari puasanya, dosanya yang didapati kerana memakan makanan yang haram lebih besar dari itu lagi maka dia tidak mendapat apa-apa selain dari berlapar sepanjang hari.

Kedua, yang dimaksudkan ialah dia yang berpuasa tetapi sentiasa terlibat di dalam mengumpat.

Ketiga, dia yang tidak menjaga dirinya dari dosa dan sebagainya semasa berpuasa.

Demikian juga dengan berjaga malam. Sepanjang malam berjaga beribadat tetapi kerana bersuka-suka, telah mengumpat atau melakukan apa-apa perbuatan bodoh yang lain sehingga semua pahala berjaga itu menjadi sia-sia. Contohnya membiarkan solah subuh berlalu sehingga terpaksa di qadha ataupun berjaga semata-mata kerana riak dan kemasyuhuran maka itu sememangnya sia-sia.

Semoga Allah s.w.t. menerima puasa kita dan ibadat kita , Insya-Allah.

http://tazkirahagama.blogspot.com/