Sunday

KONVENSYEN SAUDARA MUSLIM 2009



Hmm, mesti ada yang tertanya-tanya apa kaitan tajuk post kali ini dengan saya. adakah saya seorang saudara baru? adakah saya salah seorang peserta yang menghadirinya? Apa kaitan saya dengan gambar dua ornag lelaki di atas? Bagi dua soalan pertama, jawapannya adalah TIDAK!! Bagi yang menonton TV1 jam 10.00pg 25 Julai 2009, mereka akan tahu siapakah gerangannya 2 orang lelaki tersebut. Mereka adalah penerima anugerah saudara muslim cemerlang 2009. berikut saya sertakan petikan daripada akhbar MINGGUAN MALAYSIA 26 JUN 2009.

Jeanne mahu berbakti

Oleh NORAINI NORDIN dan SITI ATHIRAH DZULKIFLY
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Julai - Penerima Anugerah Khas Saudara Muslim Cemerlang 2009, Tun Jeanne Abdullah berazam untuk terus menyumbang idea dan pengalamannya bagi membantu saudara-saudara baru yang memeluk Islam.

Katanya, saudara-saudara baru perlu diberi motivasi serta panduan untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim agar tidak rasa terpinggir selepas menganut agama Islam.

''Sesuai dengan keindahan Islam, pendekatan mesti dilakukan secara lemah lembut serta menarik agar saudara-saudara baru dapat menghayati Islam dengan jiwa yang ikhlas. Saya sendiri telah mengalami pengalaman itu.

''Islam adalah agama mudah serta sesuai dengan naluri semula jadi manusia. Dalam usaha mengembangkan dakwah Islam kepada saudara baru khususnya dan bukan Muslim amnya saya berharap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menggunakan kaedah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas menerima anugerah itu daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sempena Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu berkata, anugerah yang diterimanya adalah satu penghormatan dan sangat bermakna bukan sahaja bagi dirinya tetapi juga kepada umat Islam di negara ini.

''Selagi termampu dan diizinkan Allah saya sedia berbakti kepada masyarakat yang memerlukan," katanya.

Turut menyaksikan beliau menerima anugerah tersebut ialah adik lelakinya yang telah memeluk Islam iaitu Faisol Abdullah, 50, dan dua anak perempuan Jeanne iaitu Nadiah Kimie dan Nadene.


JEANNE Abdullah menunjukkan anugerah khas yang diterimanya kepada Muhamad Fuad Abdullah (kiri) dan Kamarudin Abdullah (kanan) pada Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2009 di Dewan Merdeka PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, dua pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Timbalan Presiden Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ir. Dr. Mohamad Fuad Abdullah dan Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI), Kamarudin Abdullah dipilih sebagai penerima Anugerah Saudara Baru Cemerlang 2009 .

Mohamad Fuad 56, berkata, anugerah itu menjadi pendorong untuknya meneruskan dakwah kepada insan-insan yang memerlukan bimbingan menjadi Muslim sejati.

''Sebenarnya saya berdakwah secara ikhlas. Tidak sangka diberi penghargaan seperti ini. Sudah pasti anugerah ini sebagai suntikan semangat untuk berbakti kepada agama dan bangsa," katanya yang pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor.

Beliau yang memeluk Islam pada 12 Julai 1978 berharap supaya saudara-saudara Muslim sentiasa tabah menjalani kehidupan serta menjalinkan hubungan erat sesama insan lain.

Bagi Kamaruddin, 41, beliau menyifatkan anugerah itu satu pengiktirafan kepada saudara-saudara muslim yang gigih berbakti demi kegemilangan Islam.

''Saya terharu dan bersyukur dengan kurniaan ini. Sudah pasti saya mahu terus berdakwah demi mengembangkan lagi agama suci ini.

''Saya mahu berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang ada dengan mereka yang berminat memperjuangkan Islam," katanya yang memeluk Islam pada 1 Ogos 1988.

Beliau yang juga penerima Anugerah Cemerlang Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2008 ini aktif menganjurkan program-program dakwah melibatkan tokoh-tokoh Islam antarabangsa.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_13.htm

Jadi untuk soalan ketiga saya tadi, apa kaitan saya dengan gambar dua ornag lelaki di atas? Jawapannya ialah salah seorang daripada mereka ialah bapa saudara saya.!! Kamaruddin Abdullah ialah pakcik saya yang telah berkahwin dengan makcik saya (adik ibu saya). Tapi tak pernah tau plak pakcik pernah dapat Anugerah Cemerlang Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada 2008.

Sebenarnya bukan nak bangga atau menunjuk, cuma untk renungan. kita yang dilahirkan sebagai islam sepatutnya malu dengan mereka yang bukan lahir dalam islam, kemudian mendapat hidyah Allah, dan mereka mengamalkan ajaran islam dan menegakkan syi'ar dengan lebih baik berbanding kita.Malah ilmu agama mereka juga lebih banyak berbanding kita..

No comments: