Friday
CINTA ‘ANTA’ DAN ‘ANTI’ (buat renungan)
“Sesunggguhnya mukmin itu bersaudara “ (Surah Al-Hujurat . ayat 10)
“Tidak beriman seseorang mukmin itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Bagi mereka yang mempelajari kedua-kedua ayat dan hadis diatas, apa yang difahami ialah semua mikmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggung jawab seorang mukmin kepada saudarnya yang lain. selain daripada kedua-dua ayat dan hadis diatas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkkan kewajiban seorang mukmin mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli, dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan ukhuwah yang bermakna persaudaran sering dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan taqwa ini.
Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadi contoh teladan kepada generasi muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan islam di tahun 70-an lagi.
Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha-usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam sejak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hedonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya baru dalam fenomena kebangkitan di Malaysia.
Jika di awal kebangkitan dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dunia ini di waktu itu hanya dilihat berpihak kepada Islam ataupun Jahiliyah. Di alaf ini, dunia tidak lagi dilihat sebagai hitam atau putih, dan bukan lagi Islam vs Jahiliyah. Perjalinan dengan apa yang ada di dunia dengan apa yang ada dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena baru ini ialah persoalan ‘ukhwah’.
Cinta remaja ukhwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar Ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik ini telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari daripada fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami telah di’islamik’kan sepertimana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah ‘cinta ukhwah’. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi, fenomena in menular dikalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama ‘ana-anta dan ana-anti.’
Sms, yahoo masenger, e-mel dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi perhubungan utama cinta ‘anta-anti’ ini adalah lebih selamt kerana tidak perlu ber’dating’ seperti pasangan yang tidak islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membeli kertas kajang berbau wangi dan juga dakwat berwarna-warni sepertimana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.
Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan dan juga wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu alahai…kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.
Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid melayu yang berpaksikan cinta-muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastic berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta ‘anta-anti’ ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa dipertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat, wai’iyadhubillah…
Salah faham ukhwah fillah
Teringat juga penulis kepada suatu fenomena apabila seorang siswi mengadu dia diusik oleh seorang Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros dihari lahir juga telah dikirimkan Pak Lebai oleh itu.
Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti, disetiap kad, sms dan jambangan bunga tersebut terukir kata-kata ‘ukhwah fillah kekal abadi..’. Sekali lagi makna ukhwah disalahgunakan.
Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila telah dihampakan oleh seorang siswi yang satu ‘jemaah’ dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkrah melalui e-mel, akhirnya siswi teresbut bertunang dengan orang lain yang juga satu jemaah dengan mereka. Aduh… lagi hebat daripada filem ‘Love Story’ yang pernah popular di tahun 70-an dulu. Yang pasti, sekali lagi tema ‘ukhwah fillah’ menjadi ‘camoufladge’ ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran ini.
Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20kali, namun si teruna terus melamarnya juga.
Sekali lagi slogan‘ukhwah fillah’ menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan, jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan dengan ‘mafhum’ hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan senior tadi, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan ‘trend’ percintaan golongan anta-anti ini.
Seorang siswa juga pernah meluahkan perasaan marahnya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampai ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah agar kekal dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut ternampak sang naqib berjalan berpegang tangan dengan naqibah sekelas mereka…ini ynag paling menarik, lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70-an dulu nescaya apa yang dilakukan sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop ‘kafir’ dari pendukung gerakan dakwah yang lain.
Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan ‘abuya’nya kepada penulis juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Mata yang bercelak saja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya, atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang muslimah menghiasi desktop peribadinya. Ditanya sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah ‘kawan’nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut, ‘ukhwah fillah membawa ke Jannah’.
Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penuliskah yang ketinggalan zaman sehingga naïf terhadap trend muda-mudi masa kini? Ataupun ‘fiqh islamiyy’ juga perlu diubah untuk disesuaikan dengan perubahan semasa? Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberi hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap sihat atau tidak sihatnya budaya ini. Semoga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.
di petik dari:
Maszlee Malik
Pelita Ilmu : Fikrah
Majalah i Karangkraf
Februari 2006
Halaman : 72
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment