Tuesday

Eksperimen Air, Kicap, dan hati



Oleh : akh husain
Editor : naadherah

Salam perjuangan buat saudara saudari sekalian. Apa khabar diri kalian? Apa khabar iman kalian?

Semoga sentiasa dalam jagaan kedua-duanya. Kalian sudah makan? Minum? Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah atas segala rezeki yang dikurniakanNya kepada kita.

Kali ini, mari sama-sama kita jalankan satu eksperimen sambil mendekatkan diri kepada Allah.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah gelas kaca, air masak, kicap, dan sehelai wang kertas.

Langkah 1:

Tuangkan air masak ke dalam gelas kaca sehingga lebih daripada separuh.

Langkah 2:

Ambil wang kertas dan lihat siri nombornya menerusi gelas berisi air tadi.

Caranya ialah dengan meletakkan wang kertas di bahagian belakang gelas, dan lihat menerusi gelas berisi air dari bahagian hadapan.

Langkah 3:

Sekiranya anda dapat melihat siri nombor wang kertas tersebut, catatkannya dan semak semula.

Langkah 4:

Fikirkan beberapa perbuatan dosa tidak kira dosa kecil atau pun dosa besar yang kerap atau pernah anda lakukan.

Langkah 5:

Sebutkan perbuatan dosa tersebut sambil titiskan kicap ke dalam gelas berisi air tadi.

Untuk setiap dosa kecil, titiskan kicap sekali sahaja, manakala untuk setiap dosa besar, titiskan sebanyak tiga kali. Untuk dosa kecil yang anda lakukan berulang kali, titiskan kicap sebanyak tiga kali sahaja.

Langkah 6:

Ulang langkah 2 dan 3 dengan menggunakan air yang telah dititiskan kicap tadi.

Bagi memastikan saudara saudari menjalankan eksperimen ini di rumah, keputusan eksperimen tidak akan disertakan di sini, tetapi saudara saudari sekalian perlu menyatakan keputusan eksperimen yang saudara saudari buat di bahagian komen untuk dikongsi bersama.

Selain keputusan, saudara saudari juga boleh nyatakan jenis-jenis dosa yang biasa kita buat serta nilai dan pengajaran yang boleh diambil daripada eksperimen tersebut.

Selamat mencuba! Lets do it!

dipetik dari iluvislam.com

Friday

CINTA ‘ANTA’ DAN ‘ANTI’ (buat renungan)


“Sesunggguhnya mukmin itu bersaudara “ (Surah Al-Hujurat . ayat 10)
“Tidak beriman seseorang mukmin itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Bagi mereka yang mempelajari kedua-kedua ayat dan hadis diatas, apa yang difahami ialah semua mikmin itu bersaudara dan juga ia menerangkan tentang tanggung jawab seorang mukmin kepada saudarnya yang lain. selain daripada kedua-dua ayat dan hadis diatas, berdozen lagi dalil-dalil yang menunjukkkan kewajiban seorang mukmin mencintai, mengambil berat, membantu, bersikap peduli, dan juga mengasihi saudara seagamanya. Perkataan ukhuwah yang bermakna persaudaran sering dijadikan tema untuk persaudaraan ikhlas yang bertunjangkan iman dan taqwa ini.

Kisah-kisah para sahabat yang berkorban dan berjuang untuk para sahabat masing-masing menjadi contoh teladan kepada generasi muslim zaman moden. Inilah yang menjadi pengamalan anak-anak harakah Islamiah dan dakwah semenjak kebangkitan islam di tahun 70-an lagi.

Kebangkitan Islam yang telah menemukan kemuncaknya di Malaysia telah menyaksikan pesatnya usaha-usaha dakwah, kemunculan sekolah-sekolah agama, bank-bank Islam dan pelbagai lagi atas nama Islam. Tiada siapa yang dapat menafikan, itu semua adalah hasil daya usaha sama ada secara langsung atau tidak langsung, pendukung-pendukung gerakan Islam sejak tiga dekad yang lalu. Di waktu yang sama, pemikiran barat sekular, liberalisasi dan juga budaya hedonisme pesat menular dan bersaing. Keindahan persaingan kedua-dua arus ini telah melahirkan budaya baru dalam fenomena kebangkitan di Malaysia.

Jika di awal kebangkitan dahulu, dunia hanya dilihat sebagai hitam dan putih. Kehidupan di dunia ini di waktu itu hanya dilihat berpihak kepada Islam ataupun Jahiliyah. Di alaf ini, dunia tidak lagi dilihat sebagai hitam atau putih, dan bukan lagi Islam vs Jahiliyah. Perjalinan dengan apa yang ada di dunia dengan apa yang ada dalam nas telah menyaksikan pelbagai kesan. Ada yang positif dan ada yang negatif. Antara yang terkesan dengan fenomena baru ini ialah persoalan ‘ukhwah’.

Cinta remaja ukhwah.
Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar Ustaz, penulis mempunyai peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah persoalan cinta. Alaf yang serba unik ini telah menyaksikan bagaimana para remaja dan belia dakwah tidak dapat lari daripada fenomena cinta. Menariknya, cinta yang mereka alami telah di’islamik’kan sepertimana bank-bank, institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah ‘cinta ukhwah’. Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi, fenomena in menular dikalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama ‘ana-anta dan ana-anti.’

Sms, yahoo masenger, e-mel dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah menjadi perhubungan utama cinta ‘anta-anti’ ini adalah lebih selamt kerana tidak perlu ber’dating’ seperti pasangan yang tidak islamik. Tidak perlu membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membeli kertas kajang berbau wangi dan juga dakwat berwarna-warni sepertimana halnya anak-anak muda lain yang jauh dari arus kebangkitan islam. Bermula dengan kata-kata tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan dan juga wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan sering menjadi medan pelepas rindu alahai…kreatif betul anak-anak muda dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh nasyid-nasyid melayu yang berpaksikan cinta-muda-mudi. Klip-klip video nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastic berbau cinta asmara. Hakikatnya, fenomena cinta ‘anta-anti’ ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa dipertengahan jalan, dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah maksiat, wai’iyadhubillah…

Salah faham ukhwah fillah
Teringat juga penulis kepada suatu fenomena apabila seorang siswi mengadu dia diusik oleh seorang Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir, kad hari raya, malah sejambak bunga ros dihari lahir juga telah dikirimkan Pak Lebai oleh itu.

Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti, disetiap kad, sms dan jambangan bunga tersebut terukir kata-kata ‘ukhwah fillah kekal abadi..’. Sekali lagi makna ukhwah disalahgunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila telah dihampakan oleh seorang siswi yang satu ‘jemaah’ dengannya. Beliau tidak sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkrah melalui e-mel, akhirnya siswi teresbut bertunang dengan orang lain yang juga satu jemaah dengan mereka. Aduh… lagi hebat daripada filem ‘Love Story’ yang pernah popular di tahun 70-an dulu. Yang pasti, sekali lagi tema ‘ukhwah fillah’ menjadi ‘camoufladge’ ke atas perhubungan antara dua jantina yang ada kesedaran ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di IPT yang sama dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak lebih 20kali, namun si teruna terus melamarnya juga.

Sekali lagi slogan‘ukhwah fillah’ menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan, jika si siswi tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan dengan ‘mafhum’ hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan senior tadi, si siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan ‘trend’ percintaan golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan perasaan marahnya ke atas naqib usrahnya di bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di usrah, berkepul-kepul dalil dan fikrah yang dibawanya. Sampai ketika pertukaran ke usrah lain, si naqib meminta siswa tadi agar berbai’ah agar kekal dalam perjuangan dan tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung, siswa tersebut ternampak sang naqib berjalan berpegang tangan dengan naqibah sekelas mereka…ini ynag paling menarik, lebih hebat lagi, kedua-dua mereka lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70-an dulu nescaya apa yang dilakukan sang naqib dan naqibah tersebut bakal menerima cop ‘kafir’ dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan kehebatan ‘abuya’nya kepada penulis juga tidak dapat lari dari fenomena cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul dengan baju melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini. Mata yang bercelak saja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat kepada beliau. Sayangnya, atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang muslimah menghiasi desktop peribadinya. Ditanya sama ada itu adik, kakak ataupun emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku bahawa itu adalah ‘kawan’nya. Yang hebatnya, tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut, ‘ukhwah fillah membawa ke Jannah’.

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau penuliskah yang ketinggalan zaman sehingga naïf terhadap trend muda-mudi masa kini? Ataupun ‘fiqh islamiyy’ juga perlu diubah untuk disesuaikan dengan perubahan semasa? Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat untuk memberi hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap sihat atau tidak sihatnya budaya ini. Semoga ada di kalangan pembaca yang akan dapat memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

di petik dari:
Maszlee Malik
Pelita Ilmu : Fikrah
Majalah i Karangkraf
Februari 2006
Halaman : 72

about SITI


1) Siti Khadijah
- Beliau merupakan isteri Rasulullah
s.a.w yg melahirkan anak2 Rasulullah,
setia dan menyokong Rasulullah
walaupun ditentang hebat oleh org2
kafir dan musyrik, menghantarkan
makanan kpd Baginda ketika Baginda
beribadat di Gua Hira'.

2) Siti Fatimah

- Anak Rasulullah yg tinggi budi
pekertinya. Sangat kasih dan setia kpd
suaminya Ali karamallahu wajhah
walaupun Ali miskin. Tidur
berkongsikan 1 bantal dan kdg2
berbantalkan lengan Ali. Rasulullah
pernah b'kata aku takkan maafkan kamu
wahai Fatimah sehinggalah Ali maafkan
kamu.

3) Siti A'ishah

- Beliau isteri Rasulullah yg paling
romantik. Sanggup berkongsi bekas
makanan dan minuman dgn Rasulullah. Di
mana Nabi s.a.w minum di situ beliau
akan minum menggunakan bekas yg sama.

4) Siti Hajar

- Isteri Nabi Ibrahim yg patuh kpd
suami dan suruhan Allah. Sanggup
ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim atas
suruhan Allah demi kebaikan. Berjuang
mencari air utk anaknya Nabi Ismail
(Pengorbanan seorg ibu mithali).

5) Siti Mariam

- Wanita suci yg mmg pandai menjaga
kehormatan diri dan mempunyai maruah
yg tinggi sehingga rahimnya dipilih oh
Allah s.w.t utk mengandungkan Nabi
Isa.

6) Siti Asiah

- Isteri Firaun yg tinggi imannya dan
tidak gentar dgn ujian yg dihadapinya
drpd Firaun Laknatullah.

7) Siti Aminah

- Wanita mulia yg menjadi ibu kandung
Rasullullah. Mendidik baginda menjadi
insan mulia.

8) Siti Muti'ah

- Isteri yg patut dicontohi dan
dijanjikan Allah syurga untuknya
kerana setianya kpd suami, menjaga
makan minum, menyediakan tongkat utk
dipukul oleh suaminya sekiranya
layanannya tidak memuaskan hati,
berhias dgn cantik utk tatapan
suaminya sahaja.

9 ) Siti Zubaidah

- Wanita kaya dermawan yg menjadi
isteri Khalifah Harun Al-Rashid.
Sanggup membelanjakan semua hartanya
utk membina terusan utk kegunaan org
ramai hanya niat kerana Allah s.w.t.

* 9 Siti ini adalah petikan drpd kata2
Ustazah Siti Norbahiah Mahmud dlm
rancangan Halaqah TV9 bertajuk 'SITI
IMPIAN'. Adakah kita tergolong antara
Siti2 ini? Tapi bukan SITI NURHALIZA
ye!!!.Tepuk dada tanya iman. Sama2
kita tingkatkan ilmu kita utk menjadi
insan yg lebih baik di Bumi Allah ini,
insyaAllah.

12 Sifat Sahabat


1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya ia akan membantumu

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik

5. Jika ia mendapat sesuatu kabajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu(membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu)

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan

{petikan "Bimbingan Mu'minin" Imam Ghazali}