Friday

SAJAK GURU OH GURU

USMAN AWANG 1979

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi....

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


SEJARAH SAMBUTAN HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai HARI GURU kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.
(http://skp2r.blogspot.com/2008/05/sejarah-sambutan-hari-guru-tarikh-16_16.html)

lagu tema hari guru 2009


GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar bakti kucurah

Demimu ibu pertiwi
Sumpah kulafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulnizam bin Khalid
Penulis lirik : Ili Nurbahirah binti Baharudin
Gubahan : Mazuki bin Tambi dan Nazri bin Ishak

PERADUAN MENGARANG SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU 2009 anjuran UPSI

PERHATIAN KEPADA SEMUA WARGANEGARA MALAYSIA

Dengan sukacitanya Universiti Pendidikan Sultan Idris mempelawa semua warganegara Malaysia menyertai Peraduan Mengarang Sempena Sambutan Hari Guru 2009. Maklumat lanjut peraduan adalah seperti berikut :-
Kategori Peraduan :
[1] Esei
[2] Sajak
[3] Pantun

OBJEKTIF PERTANDINGAN
[1] Menyemarakkan usaha mengiktiraf dan menghormati profesion keguruan yang penting dalam memartabatkan maruah tanah air melalui pendidikan .
[2] Menggalakkan pelajar sekolah dan IPTA menggunakan bahasa Malaysia dengan betul, bermutu dan berkesan melalui penulisan.
[3] Membentuk tabiat membaca, menulis dan menyelami dunia keguruan yang besar sumbangannya melahirkan masyarakat yang bestari.
[4] Mewujudkan budaya berfikir kreatif menyampaikan idea dalam bentuk penulisan .
[5] Memupuk perasaan menghargai segala jasa guru dalam mendidik anak bangsa dan masyarakat.

Syarat Umum :
[1] Peserta boleh menghantar maksimum tiga karya bagi setiap peraduan yang disertai. Walau bagaimanapun, hanya satu karya sahaja layak dipertimbangkan untuk memenangi hadiah dalam setiap genre peraduan tersebut.
[2] Karya mestilah belum pernah menyertai sebarang peraduan atau disiarkan atau diterbitkan oleh mana-mana penerbitan.
[3] Urus setia tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan atau kerosakan karya yang dihantar. Bukti penghantaran karya tidak boleh dijadikan bukti penerimaan.
[4] Universiti Pendidikan Sultan Idris mempunyai hak untuk menerbitkan karya yang menang serta karya lain yang difikirkan sesuai.
[5] Keputusan panel hakim adalah muktamad.
[6] Semua esei, sajak dan pantun mestilah karya asli dan ditulis dalam bahasa kebangsaan. Karya ciplak, plagiat atau terjemahan akan ditolak.

TARIKH TUTUP PENYERTAAN : 30 Jun 2009

Hantarkan penyertaan anda kepada:

Urus Setia ,
Peraduan Mengarang Sambutan Hari Guru 2009,
Bahagian Hubungan Korporat dan Antarabangsa ,
Bangunan Canselori,
Universiti Pendidikan Sultan Idris,
35900 Tanjong Malim, Perajk Darul Redzuan.

u.p: Ghazali Din
Tel : 05-4506933
Faksimile : 05-4585720
E-mel : ghazali_din@upsi.edu.my

untuk mengetahui syarat-syarat pertandingan dan download borang penyertaan, sila layari:

http://www.upsi.edu.my/index.php/en/announcements/370-peraduan-mengarang-sempena-hari-guru-2009