Sunday

FADHILAT RAMADHAN 6

Hadis Fadhilat Ramadhan – 6
Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.

Alhamdulillah hari ini masuk hari yang ke 16 kita berpuasa dan malam ini adalah malam yang penuh barakah iaitu malam 17 Ramadhan. Pada malam inilah lebih dari 1437 tahun yang lalu bermulanya sejarah Islam. Malam inilah yang dinamakan sebagai Nuzul Quran atau turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Ar-Rasul s.a.w. Maka siri perjuangan kita juga asalnya dari tarikh inilah, ianya akan terus disambung oleh jenerasi pejuang Islam sehingga hari kiamat, Insya-Allah. Maka rantaian perjuangan kita tidak mungkin akan terputus sehingga Allah s.w.t. mengkiamatkan alam ciptaan-Nya.

Kita akan terus belajar dari hadis seterusnya sebagai tambahan khazanah ilmu Islam kita, Insya-Allah.

Dari Anas r.a berkata, telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi ”.

Huraian Ringkas.

Di sini marilah kita mengambil iktibar dari beberapa kisah sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan Wali-wali Allah s.w.t. yang beribadat ketika berada di Bulan Ramadhan.

1. Umar Al-Khattab r.a. akan sentiasa bersolat setiap malam sehingga waktu Subuh menjelma.

2. Uthman r.a. setelah berpuasa sepanjang hari, akan menghabiskan malam dengan bersolat. Beliau hanya tidur sekejap di bahagian permulaan malam. Beliau akan mengkhatamkan Al-Quran di dalam satu rokaat solatnya.

3. Qatadah rah. mengkhatamkan seluruh Al-Quran di dalam setiap tiga malam Ramadhan. Sementara di dalam sepuluh malam terakhir beliau akan mengkhatamkannya setiap malam.

4. Seorang Wali Allah yang terkenal iaitu Ibrahim Adham pula sepanjang Ramadhan tidak akan tidur sama ada siang ataupun malam.

5. Imam Syafie rah. pula di sepanjang Ramadhan menghabiskan enam puluh kali Al-Quran di dalam solatnya sama ada di waktu siang ataupun malam.

Semoga sedikit sebanyak dari kisah-kisah di atas dapat kita mengambil pelajaran darinya. Walaupun diakui sukar untuk kita lakukan lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, tetapi kita mestilah bertekad untuk mendapatkan fadhilat Lailatul-Qadr tahun ini. Siapa tahu kita tidak akan berjumpa lagi Ramadhan pada tahun hadapan.

Saturday

FADHILAT RAMADHAN 5

Hadis Fadhilat Ramadhan - 5
Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Dari Abu Hurairah r.a., berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesiapa yang berdiri beribadat di malam Lailatul-Qadr dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu”.

Huraian Ringkas

Maksud berdiri beribadat ialah mendirikan solat. Termasuk di dalam hukum itu juga ialah sibuk dengan lain-lain ibadat seperti tilawah Al-Quran, zikir dan lain-lain. Maksud ' mengharapkan ganjaran ' ialah tidak berdiri kerana menunjuk-nunjuk dan lain-lain niat yang buruk bahkan dengan penuh ikhlas berdiri semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan juga dengan niat untuk mendapatkan ganjaran. Khattabi rah. berkata bahawa maksudnya ialah dengan meyakinkan ganjaran yang akan didapati seseorang berdiri dengan hati yang gembira bukannya dengan merasakan ianya sebagai beban lantas berdiri dengan perasaan yang malas. Sememangnya satu perkara yang jelas terbentang bahawa setakat mana kuatnya keyakinan dan kepercayaan terhadap ganjaran pahala, sebanyak itulah mudah untuk menanggung segala kesusahan di dalam beribadat. Inilah sebabnya sejauh mana seseorang itu maju dalam menghampirkan dirinya kepada Allah s.w.t. sebanyak itulah dia lebih bersungguh-sungguh di dalam ibadat.

Perlu juga dimaklumi bahawa yang dimaksudkan dengan dosa di dalam hadis di atas dan hadis-hadis seumpamanya ialah dosa-dosa kecil kerana di dalam Al-Quran,bila sahaja dosa besar disebutkan maka bersamanya disebutkan juga - kecuali mereka yang bertaubat. Berdasarkan perkara inilah, para ulama telah sepakat ( ijma' ) bahawa dosa besar tidak akan diampunkan tanpa bertaubat. Jadi bila sahaja dosa disebutkan di dalam hadis maka para ulama mengkhususkannya dengan dosa kecil sahaja.

Semoga Allah s.w.t. menerima segala amalan baik kita, Inya-Allah.

http://tazkirahagama.blogspot.com/

FADHILAT RAMADHAN 4

Hadis Fadhilat Ramadhan - 4

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: ' Betapa ramai daripada orang yang berpuasa yang tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang beribadat malam yang tidak mendapat apa-apa dari ibadatnya kecuali berjaga malam'.

Huraian Ringkas

Ada beberapa pendapat ulama di dalam mensyarahkan hadis ini.

Pertama, yang dimaksudkan di dalam hadis di atas adalah orang yang berpuasa sepanjang hari tetapi berbuka dengan sumber yang haram. Sebanyak mana dia telah mendapat pahala dari puasanya, dosanya yang didapati kerana memakan makanan yang haram lebih besar dari itu lagi maka dia tidak mendapat apa-apa selain dari berlapar sepanjang hari.

Kedua, yang dimaksudkan ialah dia yang berpuasa tetapi sentiasa terlibat di dalam mengumpat.

Ketiga, dia yang tidak menjaga dirinya dari dosa dan sebagainya semasa berpuasa.

Demikian juga dengan berjaga malam. Sepanjang malam berjaga beribadat tetapi kerana bersuka-suka, telah mengumpat atau melakukan apa-apa perbuatan bodoh yang lain sehingga semua pahala berjaga itu menjadi sia-sia. Contohnya membiarkan solah subuh berlalu sehingga terpaksa di qadha ataupun berjaga semata-mata kerana riak dan kemasyuhuran maka itu sememangnya sia-sia.

Semoga Allah s.w.t. menerima puasa kita dan ibadat kita , Insya-Allah.

http://tazkirahagama.blogspot.com/

Monday

FADHILAT RAMADHAN 3

Daripada Ka'ab Bin 'Ujrah r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : ' Hadirlah ke mimbar! Maka kami pun telah hadir. Apabila baginda naik satu anak tangga mimbar, baginda berkata ' Amin' dan apabila naik anak tangga yang kedua, baginda berkata ' Amin ' dan apabila naik anak tangga yang ketiga baginda berkata ' Amin '. Apabila baginda turun, kami telah bertanya ' Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari tuan sesuatu yang belum pernah kami
dengar. Baginda bersabda : ' Sesungguhnya Jibrail telah muncul kepadaku dan berkata ' Binasalah dia yang mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan'. Maka aku berkata " Amin'. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata ' Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan di depannya, tidak pula dia menselawatimu. ' Aku juga berkata ' Amin' dan apabila aku naik anak tangga yang ketiga dia berkata ' Binasalah dia yang mendapati kedua ibu-bapanya atau salah seorang darinya telah tua tetapi ,mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam syurga'. Aku berkata ' Amin '.


Huraian Ringkas

Dalam hadis ini Jibrail a.s. telah memohon tiga doa ( kebinasaan ) dan Rasulullah s.a.w pula telah mengaminkan ketiga-tiganya. Pertama apa kurangnya dalam doa Jibrail a.s, satu malaikat yang begitu hampir dengan Allah s.w.t. dan kemudian jelas kepada kita amin Rasulullah s.a.w. pula telah menjadikan doa itu kuat. Hanya Allah s.w.t. dengan limpah-Nya sahaja boleh memberi taufiq kepada kita untuk menjauhi ketiga-tiga perkara itu supaya kita terpelihara dari semua kebinasaan itu. Jika tidak, tiada sebarang kesangsian lagi terhadap kebinasaan kita sendiri.

Di dalam sesetengah riwayat dari kitab Durre- Manthur dinyatakan bahawa Jibrail a.s. sendiri yang berkata kepada Nabi s.a.w. ' Katakanlah Amin!'. Lalu Rasulullah s.a.w. pun berkata 'Amin'. Dengan itu dapat diketahui bahawa perkara itu lebih diambil berat. Orang pertama ialah dia yang Ramadhan datang kepadanya tetapi dia masih tidak diampunkan. Yakni bulan yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan seperti Ramadhan itu pun masih dihabiskan dengan kelalaian. Di dalam Ramadhan keampunan dan rahmat Allah s.w.t. turun seumpama hujan. Oleh kerana itu sesiapa yang Ramadhan pun berlalu padanya dalam keadaan keburukan dan kecuaian begitu sekali sehingga menyebabkannya terluput dari keampunan, maka masa mana lagi yang boleh menjamin keampunan untuknya dan apa lagi yang hendak ditunggu untuk kebinasaannya. Sementara jalan untuk mendapat keampunan ialah dengan menunaikan amalan-amalan Ramadhan seperti puasa dan tarawih dengan sepenuh-penuh perhatian dan kemudian pada setiap masa memperbanyakkan taubat dan istighfar ke atas dosa-dosa sendiri.

Semoga Allah s.w.t. menerima amalan-amalan baik kita dan memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. ... Amin.

FADHILAT RAMADHAN 2

Segala puji-pujian hanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

' Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum pernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka.
1. Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Ikan-ikan di laut akan beristighfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah s.a.w. akan menghiaskan syurga-Nya dan berkata " Telah hampir masanya hamba-hamba-Ku yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."
4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa diperbuat oleh mereka pada bulan yang lain.
5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan. Ditanyakan kepada Rasulullah ' Adakah ia Lailatul-Qadr?'. Baginda menjawab ' Tidak! Namun seorang pekerja akan diberikan ganjarannya apabila dia telah menyelesaikan kerjanya.'


Huraian Ringkas.

Salah satu eistimewaan bulan ini ialah penangkapan syaitan-syaitan yang sangat jahat yang kerananya kekuatan dorongan maksiat akan berkurangan. Disebabkan mencurah-curahnya rahmat dan banyaknya ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, sepatutnya syaitan akan berusaha sedaya upaya dan sekeras mungkin untuk menyesatkan sehingga maksiat juga akan bertambah pada bulan ini tanpa had lagi. Namun demikian di sebalik itu semua apa yang dapat kita saksikan dan dapat dipastikan secara keseluruhannya ialah perlakuan dosa akan sangat berkurangan. Berapa ramai kaki arak yang tidak lagi minum arak semata-mata bulan Ramadhan dan demikian juga dosa-dosa lain. Perlakuannya secara terbuka akan berkurangan. Walaupun demikian, perlakuan-perlakuan dosa masih wujud. Maka tidak peliklah kalau dosa-dosa itu dilakukan kesan dari syaitan-syaitan biasa.

Kesan itu juga adalah hasil daripada sifat yang ada pada nafsu ' amarah bi suk ' yang jahat. Ianya masih tidak dapat dikawal oleh seseorang insan yang terlalu sebati hidupnya bersama nafsu itu. Sabda Rasululullah s.a.w.; ( Terjemahan )

' Apabila seseorang itu melakukan satu-satu dosa maka setitik hitam akan melekat dihatinya. Jika dia benar-benar bertaubat maka titik itu akan hilang. Jika tidak, ia akan terus kekal. Apabila dia melakukan dosa untuk kali yang kedua maka titik kedua akan melekat dan seterusnya sehingga seluruh hatinya akan menjadi hitam. Kemudian perbuatan yang baik tidak lagi akan masuk ke dalam hatinya.'

Allah s.w.t. telah berfirman : ( Terjemahan )
" Sebenarnya! ( ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran ." ( Al-Mutaffifin : 14 )

Maka bulan Ramadhan ini sepatutnyalah kita semua mempertingkatkan keimanan kita dan banyak-banyak bertaubat semoga Allah s.w.t. akan menerima amal ibadat kita dan dimasukkan kita ke dalam syurga yang mana seperti hadis ini, iaitu syurga-syurga yang dihiaskan oleh-Nya. Ini adalah kerana Allah s.w.t. menerima kita sebagai hamba-hamba-Nya yang ikhlas.